Selempang Merah Parang Terbang Kiyai Salleh

Sejak dari bangku sekolah aku selalu mendengar akan kehebatan Selempang Merah atau Selendang Merah dan juga Parang Terbang Pan...

Sejak dari bangku sekolah aku selalu mendengar akan kehebatan Selempang Merah atau Selendang Merah dan juga Parang Terbang Panglima Kiyai Saleh.

Dikatakan mereka mereka ini lah yang membela orang Melayu di negeri Johor.

Semalam aku membaca satu artikel yang ditulis oleh seorang Guru berjiwa Pembela Melayu yang juga merupakan Guru Silat yang aku kagumi dan hormati iaitu Cik'gu Che'gu Rosman (walaupun aku tak pernah bertemu mata dengannya)

Semuga dengan cerita ini dapat menyatukan semua jiwa jiwa Kersani....amin.

Cerita

Sejarah Tentera Selempang Merah Kiyai Salleh

Selepas tentera Berikat menjatuhkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki telah melemahkan kekuatan Jepun, berikutan itu maharaja Jepun telah mengisytiharkan kekalahan sekaligus menamatkan perang. 

Tetapi kekalahan Jepun itu belum dapat meredakan hati rakyat Malaysia khususnya di negeri Johor kerana masih ada lagi masalah baru yang timbul, iaitu kebangkitan Komunis yang pada awalnya dikenali dengan nama MPAJA (Malayan People Anti-Japanese Army) yang mengambil kesempatan atas pengunduran tentera Jepun. Dan dari peristiwa inilah munculnya Tentera Sabil Selempang Merah yang telah diasaskan oleh Kiyai Salleh.

*Berikut adalah kisah yang telah ditulis oleh HAIRI ABDULLAH, dari Jabatan Antropologi & Sosiologi UKM.

Masyarakat negeri Johor berada dalam keadaan cemas apabila tentera Jepun yang mendominasikan politik menjadi semakin lemah pada bulan September 1945. 

Rasa cemas itu bukanlah disebabkan mereka sayang pada tentera Jepun, (yang bibit kekalahannya semakin jelas selepas Tentera Berikat memusnahkan Hiroshima-Nagasaki) tetapi perasaan itu lahir disebabkan oleh berbagai masalah sosial yang semakin meruncing akibat dari sistem pemerintahan yang authoritarian dan terlalu tidak berperi kemanusiaan.

Boleh dikatakan tidak ada siapapun yang rasional dan taat setia pada bangsa, agama dan negara menyokong cara-cara Jepun memerintah; justeru itu bangkit menentangnya baik secara diam-diam mahupon nyata.

Secara kebetulan gerakan yang dimanifestasikan oleh organisasi MPAJA di Johor dan daerah-daerah Muar-Batu Pahat didominasi oleh orang-orang Cina, iaitu golongan yang dibenci oleh Jepun sejak mula-mula tenteranya menguasai negeri ini. 

Sikap pro-Melayu dan anti Cina Jepun ini telah menimbulkan berbagai prasangka di kalangan orang Cina terutama prasangka mereka terhadap orang-orang Melayu yang tidak menyokong gerakannya dan bekerja dengan Jepun. Oleh yang demikian orang-orang Cina yang menjalankan gerakan bawah tanah, berpusat di hutan-rimba dan bukit bukau itu sentiasa memikirkan strategi untuk menghalau Jepun dan mengambil alih pentadbiran negara. 

Tujuan ini akhirnya telah dicapai apabila mereka keluar mengambil alih pemerintahan dengan menguasai balai polis daerah dan bandar-bandar kecil sebaik sahaja Jepun mengaku kalah dan negara dalam zaman peralihan sementara Inggeris sedang berusaha mengambil semula kuasa di negeri ini. 

Dalam zaman peralihan yang singkat ini (kira- kira dua minggu merupakan satu zaman yang bersejarah dalam pergolakan sosial di daerah ini kerana dalam tempoh itulah berbagai masalah yang melibatkan hubungan etnik antara Melayu dengan Cina telah mendominasikan gerakan sosial iaitu satu manifestasi sosial yang timbul lantaran kuatnya semangat bencikan pada kekejaman pemerintahan tentera Jepun. 

Hakikat ini menyebabkan semakin kukuhnya pendapat yang mengatakan bahawa Jepun adalah bertanggungjawab secara langsung bukan sahaja telah menjadikan negeri ini mengalami kekurangan makanan dan pakaian tetapi juga telah mencetuskan konflik perkauman Melayu-Cina di negeri ini.

Moral tentera Jepun di negeri ini menjadi lemah, sebaik sahaja Maharajanya membuat pengakuan menyerah kalah kepada Tentera Berikat di Tokyo. Dengan itu mereka tidak lagi memperdulikan hal-ehwal pentadbiran dan keselamatan rakyat dan membiarkan sahaja gerakan MPAJA mengukuhkan pasukannya, mencari bantuan dan sokongan dari segenap lapisan rakyat. 

Pasukan penentang tentera Jepun yang sekian lama berpusat di hutan dan bukit bukau itupun menjadi semakin berani keluar memaksa orang-orang kampung menjadi penyokongnya dengan mengenakan yuran dan membekalkan bahan-bahan makanan. 

Oleh sebab tindakan ini dilakukan secara paksa, maka ianya telah menimbulkan berbagai reaksi di kalangan orang ramai, apalagi bila didapati angkatan penentang Jepun yang secara kebetulan dianggotai oleh orang-orang Cina itu juga melakukan kekejaman terhadap sesiapa sahaja yang membantah arahannya. 

Malah dalam kebanyakan hal seperti yang berlaku diberbagai kampung di daerah Muar dan Batu Pahat mereka telah merampas bahan-bahan makanan dari orang-orang kampung, menyiksa orang-orang yang disyaki bekerjasama dengan Jepun tanpa sebarang siasatan lanjut, dan aktiviti ini mencetuskan suasana hidup yang sentiasa dalam takut dan cemas.

Orang-orang Cina daerah Muar yang cergas dalam gerakan ini telah menjadikan Bakri Batu Enam Bukit Mor sebagai markas besarnya. Markas ini dianggap oleh penduduk disekitarnya sebagai “lubok hitam” yang paling bahaya kerana disitulah segala rupa jenis seksaan, termasuk pembunuhan, dilakukan oleh tentera-tentera penentang Jepun terhadap sesiapa sahaja rakyat yang dianggap sebagai musuh mereka. 

Istilah musuh ini meliputi semua orang yang tidak mahu bekerjasama dengan mereka, seperti tidak menjadi penyokong, tidak membantu dan tidak menyerahkan makanan yang dipinta oleh mereka atau disyaki bersubahat dan rapat kepada orang-orang Jepun. 

Secara kebetulan oleh sebab kampung-kampung disekitar lubuk hitam ini didiami oleh orang-orang Melayu dari berbagai keturunan, termasuk Jawa dan Bugis, manakala tentera-tentera penentang Jepun terdiri daripada orang-orang Cina, maka gerakan yang semakin serius dan berani (malah dalam kebanyakan hal ganas~lebih ganas dari tentera Jepun) itu dianggap oleh penduduk daerah ini sebagai satu gerakan untuk menimbulkan huru-hara dan mengancam perjalanan sistem sosial orang-orang Melayu. 

Apa lagi bila diketahui yang maharaja Jepun telah mengistiharkan kekalahan pihaknya dan sudah tentu mereka tidak boleh kekal memerintah negeri ini, justeru itu gerakan menentang imperialis Jepun dianggap telah selesai. 

Namun demikian gerakan dari “lubuk hitam” semakin intensif sehingga akhirnya mereka telah dapat mengambil alih pentadbiran Balai Polis Bandar Maharani dan Parit Jawa tanpa sebarang masalah kerana kedudukan Jepun sememangnya telah lemah dan tidak lagi memperdulikan jentera pentadbirannya. 

Di Balai Polis Bandar Maharani misalnya ketika pengambilan alih kuasa dilakukan, tidak ada apa-apa penentangan, kerana cuma ada seorang sahaja pegawai tentera Jepun yang bertugas, manakala tentera Cina yang datang sebanyak tiga buah lori cukup alat kelengkapan senjata. 

Keadaan di Balai Polis Parit Jawa pun demikian juga. Malah ramai tentera-tentera yang menawan Balai Polis Parit Jawa itu datang hanya dengan berjalan kaki. Mereka terus meluru ke Balai Polis tanpa sebarang sekatan, dan dengan mudah menaikkan bendera yang berlambangkan ‘Bintang Tiga’. 

Sebaik sahaja selesai upacara menaikkan bendera, mereka telah menembak seorang inspektor polis, Encik Bujang, kerana dianggap telah berkhidmat dengan tekun bersama tentera-tentera Jepun. Oleh itu ia dianggap paling khianat. 

Tentera-tentera yang menggunakan bendera berlambang “Bintang Tiga” ini terus meronda disekitar Bandar Maharani dan Parit Jawa, dan cuba mendapatkan sokongan dari orang ramai.

Usaha mereka itu sangat mudah di Bandar Maharani kerana penduduknya yang sebahagian besar terdiri daripada orang-orang Cina cepat memberikan sokongan dan bantuan, termasuk bantuan makanan, senjata dan maklumat. 

Bagaimanapun mereka telah menghadapi masalah yang rumit di Parit Jawa kerana ramai diantara peduduknya yang terdiri daripada orang-orang Melayu keturunan Jawa, Banjar dan Bugis semakin kuat menaruh sangsi di atas pengunaan bendera “Bintang Tiga”. 

Rasa sangsi mereka itu semakin dominan apabila melihatkan telatah ganas yang ditunjukkan, sehingga mereka sanggup bertindak dan menganiaya sesiapa sahaja. Tindakan ini menyebabakan ramai orang-orang kampung yang tidak bersalah tetapi difitnahkan oleh orang-orang tertentu, termasuk orang-orang biasa yang sakit hati terhadap orang lain, menjadi mangsa. 

Encik Yunos bin Haji Jaafar, seorang keluarga Penghulu Mukim Seri Menanti, misalnya, telah dituduh menjadi pengintip Jepun semata-mata kerana beliau pernah bekerja di Jabatan Percetakan Jepun di Bandar Maharani, telah diseksa disepanjang jalan dari Seri Menanti ke Bukit Mor Bakri, sehingga akhirnya mati di sana. Encik Ahmad Shamsuddin dari Parit Jamil Darat pula telah ditangkap sedang ia membetulkan atap rumahnya dan dibawa ke “lubok hitam”. 

Sejak itu ia tidak diketahui kesudahannya, dan orang ramai menganggap ia diseksa dan dibunuh kerana di tuduh sebagai pernah mengemukakan pendapat tidak setuju tindak tanduk tentera “Bintang Tiga”. 

Peranan ganas tentera yang menggunakan lambang Bintang Tiga itu telah menyebabkan ramai di daerah ini menganggapnya sebagai komunis yang mabuk kuasa. Lantaran itu sehingga kini mereka masih tidak dapat melupakan tindak tanduk tentera Bintang Tiga yang dianggap “gatal-mengenyan” seperti “ketumbu gila”.

Sungguhpun tentera Bintang Tiga itu menjalankan dasar kuku besi yang ganas dan kejam terhadap orang ramai, masyarakat Melayu yang waktu itu sedang berpuasa bulan Ramadhan (1365H) belum pernah melawan dalam bentuk yang terbuka atau terang-terangan. 

Mereka cuma bersikap mahu mempertahankan diri dengan beramal ibadat dan berdoa kepada Allah agar segera dijauhkan dari malapetaka. Oleh itu surau dan masjid sentiasa penuh, bukan sahaja waktu sembahyang tarawikh, tetapi juga waktu-waktu lain dimana masyarakat Islam disitu beramal secara beramai-ramai. 

Di samping itu orang ramai juga mengukuhkan perpaduan mereka, sehingga mereka tidak lagi berjalan seorang diri. Sebaliknya mereka sentiasa berkelompok walau ke mana sekalipun mereka pergi. 

Orang-orang Melayu yang menjadi anggota MPAJA semakin ramai yang mengundurkan diri kerana mereka juga mula mencurigai akan nasib masing-masing dimasa akan datang.

Melihatkan pada reaksi orang-orang kampung yang demikian maka tentera tentera Bintang Tiga menjadi semakin berani sehingga akhirnya bukan sahaja mereka menganiaya orang-orang yang tidak bersalah tetapi telah cuba mengganggu orang-orang yang sedang menunaikan ibadat puasa Ramadhan dengan mengacau dan dalam beberapa hal mereka telah melarang orang-orang Melayu pergi berkumpul di surau atau masjid untuk menunaikan sembahyang tarawikh dan beramal ibadat secara berjemaah. 

Perbuatan ini telah menjadikan perpaduan di kalangan orang-orang Melayu semakin kukuh dan kebencian terhadap tentera-tentera Bintang Tiga menjadi semakin meluas. Malah kebencian itu bukan sahaja pada tentera-tentera tetapi menyeluruh pada komuniti Cina kerana, seperti yang telah disebutkan, tentera-tentera itu dianggotai oleh orang-orang Cina, dan ramai pula orang-orang Cina biasa yang berniaga dan berkebun telah bekerjasama dengan mereka dan ramai yang melakukan fitnah terhadap orang-orang Melayu sehingga ramai orang-orang Melayu yang diseksa di “lubok hitam”. 

Perkembangan baru itu telah secara langsung menukar arah pergolakan daripada gerakan menentang imperialis Jepun menjadi gerakan Cina menentang Melayu. Masyarakat Melayu telah hilang kepercayaan terhadap orang-orang Cina apabila tentera-tentera Bintang Tiga mula mengganggu upacara keAgamaan di surau dan masjid. 

Kebencian masyarakat Melayu telah sampai pada peringkat kemuncak apabila tentera-tentera tersebut semakin berani hingga mencemarkan rumah-rumah suci. Mereka menjadi tidak sabar apabila mengetahui Masjid di Air Hitam Muar telah digunakan bagi menyembelih babi dan menyebabkan masyarakat di situ terganggu langsung daripada mengamalkan ibadat sembahyang tarawikh dan berjemaah.

Seluruh masyarakat Melayu di daerah ini sependapat mengenai keangkuhan dan kesombongan tentera Bintang Tiga dan orang-orang Cina yang masih kukuh menyokong gerakannya, sehingga ramai yang merasa kesal atas sokongan yang pernah diberikan dalam MPAJA dahulu. 

Lantaran itu maka masyarakat Melayu yang beragama Islam telah menubuhkan satu angkatan tentera bagi menentang keganasan masyarakat Cina yang telah mencemarkan agama suci mereka itu.

Angkatan tentera itu telah dipelopori oleh Haji Salleh bin Abdul Karim seorang mualim yang tinggal di Parit Maimon, Simpang Kiri, Batu Pahat, iaitu setelah keganasan tentera Bintang Tiga cuba merosakkan sistem hidup orang-orang Islam dan beliau, mengikut ceritanya, telah mendapat seruan’ untuk membela Agama Islam yang suci itu. 

Seruan itu diterimanya ketika ia mengetuai satu upacara membaca doa dan bersembahyang di surau kampungnya, memohon pada Allah agar malapetaka yang sedang berlaku itu tidak merebak lebih luas lagi. Semasa ia khyusuk berdoa dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran itu tiba-tiba kedengaran suara halus di dalam hatinya:

“Kalau kamu tentang pencabulan ini, Allah akan beserta kamu; gunakanlah sebarang senjata yang ada pada kamu. Kalau kamu tidak menentangnya harus kamu habis ditindasnya. 

Bangunlah menentang di atas daya kamu dan gunakanlah ayat-ayat Al-Quran yang tertentu sebagaimana yang digunakan zaman Rasulullah melawan kafir dahulu, dan ayat-ayat yang digunakan dalam perang Sabil zaman Khalifah Islam dahulu.”

Selepas peristiwa itu Haji Salleh Abdul Karim mengumpulkan ayat-ayat Al Quran yang dimaksudkan dan mula diajarkan kepada mereka yang sama-sama bersembahyang disurau kampungnya. 

Sejak itu boleh dikatakan semua orang lelaki, tua dan muda, di kampungnya telah bersatu mempelajari dan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang diberikan, sebagai langkah permulaan untuk membuat persediaan penubuhan tentera Islam yang pertama di negeri ini. 

Sebaik sahaja mereka itu fasih pada amalan dan syarat-syaratnya, maka Haji Salleh terus menubuhkan Tentera Sabil Selempang Merah dengan beliau sendiri menjadi panglima dan memakai gelaran “kiyai”. Majoriti pengikut dan penyokong nya terdiri daripada orang-orang Melayu keturunan Jawa dan Banjar.

Pada pokoknya angkatan tentera ini mempunyai tiga tujuan besar iaitu mempertahankan kehormatan Agama Islam dan tempat-tempat ibadat yang telah dinodai oleh “ketumbu gila”, menentang dan memusnahkan segala kezaliman yang dilakukan oleh tentera Bintang Tiga, dan akhirnya untuk mengawal maruah bangsa, hak dan harta orang-orang Islam.

Panglima perang Kiyai Haji Salleh Abdul Karim telah menubuhkan beberapa pasukan yang masing-masing diberi tugas untuk mengawal kawasan-kawasan yang ditentukan. Pembahagian kawasan itu tidak berhad di daerah Muar dan Batu Pahat sahaja tetapi meliputi seluruh negeri Johor dan organisasi tiap-tiap pasukan diketuai oleh pembantu-pembantunya seperti berikut:

PESURUHJAYA AM : 
Kiaii Wak Joyo

KAWASAN JOHOR SELATAN: Ketua I – Kiyai Kusin 
Ketua II – Kiyai Mashhudi 
Ketua III – Kiyai Mayor (Moh)

KAWASAN JOHOR TIMUR: 
Ketua I – Kiyai Saudi 
Ketua II – Kiyai Maskam 
Ketua III – Kiyai Sarbini

KAWASAN JOHOR UTARA: 
Ketua I – Kiyai Mustahir 
Ketua II – Kiyai Haji Shamsuddin 
Ketua III – Kiyai Haji Shukor

Semua ketua yang dilantik dan memakai gelaran “kiyai” ini adalah mereka yang diberikan kepercayaan penuh oleh Panglima Tentera untuk memimpin pasukan masing-masing, menyusun dan menubuhkan cawangan kecil diseluruh kampung di negeri Johor demi untuk membesar dan memperkuatkan lagi organisasi tentera yang baru ditubuhkan. 

Sungguhpun demikian organisasi pusat tentera ini tidak dapat membekalkan senjata api untuk digunakan bagi mempertahankan diri dan menyerang bila perlu, sebaliknya orang ramai yang menyertainya dibekalkan dengan “Selempang Merah” yang tertulis dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan beberapa ayat lain serta petua perjuangan untuk diamalkan bagi menghadapi musuh. 

Mereka juga digalakkan mengguna apa sahaja senjata yang dimilikinya, seperti parang panjang, senapang patah, lembing, pedang, keris, sundang dan tombak.

Pada keseluruhannya kira-kira 80 peratus tentera ini menggunakan parang panjang sebagai senjata utama, 10 peratus menggunakan senapang patah dan 10 peratus lagi menggunakan lembing, pedang, keris, tombak dan sundang. 

Oleh sebab senjatanya terdiri dari parang panjang maka orang-orang kampung sehingga hari ini mengenang zaman itu sebagai “zaman perang parang panjang”. Bagaimanapun, senjata-senjata itu dikatakan mempunyai kesaktian dan hikmat. 

Panglima Kiyai Salleh sendiri menggunakan pedang hikmat yang telah dihadiahkan oleh ibunya. Pedang ini boleh dilipat dan dililit seperti tali pinggang. Kiyai Saudi pula menggunakan tongkat sakti yang didapati dari perdu Kayu Kelo di Tanah Jawa dan mempunyai hikmat besar kerana sesiapa yang menggunakannya akan menjadi kebal dan tidak boleh ditembusi oleh sebarang senjata.

Tiap-tiap anggota tentera Selempang Merah ini, dikehendaki patuh dan menunaikan segaja anjuran yang berteraskan pada kitab suci Al-Quran. 

Mana-mana tempat yang hendak menubuhkan pasukan cawangan mestilah direstui oleh ketua wilayah,  dimana ketua wilayah akan memimpin orang-orang di kawasan itu bersembahyang jemaah di surau. 

Selepas sembahyang Isyak, mulalah mereka diajarkan ayat-ayat Al-Quran yang telah ditentukan yang diantaranya meliputi bacaan-bacaan untuk herjalan, bacaan untuk berperang, bacaan untuk menyerang, dan bacaan sedang berperang, disamping ayat-ayat lain yang wajib diamalkan setiap kali lepas bersembahyang lima waktu.

Sebaik sahaja mereka ini tamat mempelajari ayat-ayat suci Al-Quran, barulah mereka akan ditauliahkan dalam satu upacara menyampaikan Selempang Merah, iaitu sehelai kain merah selebar kira-kira empat inci dan panjangnya cukup untuk diselempangkan dari atas bahu kanan hingga ke bawah ketiak kiri. 

Kain ini bertulis dengan ayat-ayat Al-Quran dan sesiapa yang telah dikurniakan dengan Selempang Merah ini mestilah meneruskan amal ibadat dan membaca ayat-ayat yang diajarkan setiap kali selepas sembahyang supaya ia benar-benar cukup sebati dan mesra dengan ayat-ayat tersebut. 

Selepas itu barulah ia diuji oleh kiyai yang mengetuainya untuk memastikan sejauh mana pengikutnya faham dan hafal akan ajaran yang diberikan.

Mereka yang telah lulus ujian dibolehkan terus menggunakan Selempang Merah tersebut tetapi mereka hendaklah patuh pada aturan dan menjauhi pantang larang yang dikenakan. Antara peraturan-peraturan itu meliputi perkara-perkara seperti berikut;

Anggota Selempang Merah boleh memakai Selempang itu setiap masa, kecuali waktu mereka pergi ke bilik air atau sewaktu membuang air sama ada kecil ataupun besar. Anggota Selempang Merah mestilah mengasapkan (sambil membaca takbir) Selempang Merah itu dengan kemenyan setiap petang Jumaat. 

Anggota Selempang Merah hendaklah menunaikan sembahyang lima waktu, walau dimana sekalipun, Anggota Selempang Merah tidak boleh berjudi, minum arak, berzina dan membuat sebarang maksiat. 

Anggota Selempang Merah tidak boleh tamakkan harta sewaktu menghadapi peperangan. Oleh itu mereka tidak dibenarkan mengambil barang-barang yang dijumpai termasuk wang dan perempuan. Anggota Selempang Merah tidak boleh melakukan perbuatan yang zalim terhadap orang yang tidak bersalah. 

Anggota Selempang Merah mesti sentiasa ada air sembahyang, terutamanya kalau mereka pergi berperang.

Semua peraturan-peraturan ini hendaklah dipatuhi kerana walaupun mereka yang melanggarnya tidak akan dihadapkan dalam mana-mana mahkamah tentera dan tidak pula akan dihukum oleh ketua atau panglimanya tetapi mereka dikatakan akan mengalami kegagalan dan mendapat malapetaka dalam perjuangan. 

Sebaliknya sesiapa yang jujur dan patuh pada peraturan dan ajaran akan semakin kukuh semangatnya dan semakin kuat jiwanya dalam menghadapi sebarang masalah perjuangan.

Oleh sebab penubuhan tentera ini rapat kaitannya dalam usaha untuk mempertahankan maruah bangsa dan agama, maka tindakan tentera Bintang Tiga membunuh orang-orang Melayu dan menyembelih babi di dalam masjid dianggap sebagai perbuatan kejam yang mengancam bangsa dan agama. 

Lantaran itu maka Panglima Kiyai Salleh dan Kiyai Mashhudi telah mengumpulkan tentera- tenteranya untuk menyerang Parit Sulong iaitu sebuah pekan kecil di Batu Pahat yang ramai didiami oleh orang-orang Cina. 

Mereka telah menjadikan Parit Puasa Batu Pahat sebagai pusat pergerakan untuk menyerang Parit Sulong dan tempat-tempat lain, bagi menunjukkan kepada masyarakat Cina bahawa orang-orang Melayu juga berkemampuan untuk menyerangbalas dan menghapuskan pengkhianat bangsa dan agamanya.

Sebagai permulaan seramai 200 orang tentera Selempang Merah telah menyerang dan membunuh semua orang-orang Cina di Parit Sulong dan gerakan permulaan ini telah memperolehi kejayaan besar. 

Kejayaan itu telah menaikkan lagi semangat orang-orang Melayu lain dan dengan itu semakin bertambah ramai yang menyertai gerakan ini. Dengan itu pasukan ini telah dapat bergerak dari sebuah kampung ke sebuah kampung dan membunuh semua orang Cina yang ditemui. 

Gerakan seumpama ini telah memeranjatkan orang-orang Cina, termasuk tentera Bintang Tiga dan sebagai mekanisma tindakbalas orang-orang Cina juga cuba menentang Tentera Selempang Merah. 

Justeru itu maka konflik perkauman diantara Cina dengan Melayu semakin ketara sehingga kedua kelompok ethnik ini tidak boleh bertemu dimana sahaja mereka akan berperang dan masing-masing cuba menumpaskan musuhnya.

Satu perkara yang menarik dalam rusuhan ini ialah orang-orang Melayu di dalam Tentera Selempang Merah cuma menggunakan senjata tradisional seperti parang panjang, keris dan pedang, menakala orang-orang Cina dalam tentera Bintang Tiga menggunakan alat senjata moden yang dirampasnya dari tentera-tentera Jepun. 

Namun demikian orang-orang Melayu boleh dikatakan telah mencapai kejayaan cemerlang dan mereka tidak gentar menghadapi musuh yang ramai serta lengkap dengan alat senjata moden itu. 

Oleh itu ramai yang berpendapat bahawa kejayaan orang-orang Melayu itu disebabkan oleh hikmat mereka mengamalkan ayat-ayat Al-Quran untuk memerangi orang-orang kafir yang telah menunjukkan perbuatan menceroboh dan mencabul Agama Islam. 

Kiyai yang memimpin dan mengetuai pasukan juga telah memberikan air, yang dikatakan boleh menaikkan semangat berani berperang terus hingga mencapai kejayaan.

Berasaskan pada kejayaan yang didapati sekian lama, Tentera Selempang Merah cuba meneruskan gerakan ke seluruh daerah dalam negeri Johor. Antara insiden yang menarik ialah strategi serangannya ke atas orang-orang Cina di Parit Jawa, iaitu sebuah bandar kecil di daerah Muar, dimana terdapat pertelingkahan diantara Kiyai-Kiyai mengenai waktu paling sesuai untuk memulakan serangan. 

Oleh sebab bandar ini penting dari segi kedudukannya yang hampir dengan “lubok hitam” di Bukit Mor Bakri, dan berada di pertengahan jalan antara Muar dan Batu Pahat, maka ianya merupakan pusat kukuh orang-orang Cina.

Dengan itu beberapa orang kiyai termasuk kiyai Mashhudi, kiyai Ijam, kiyai Miskam, kiyai Wak Joyo dan lain-lain lagi telah bermesyuarat dan akhirnya mereka bersetuju supaya serangan keatas bandar ini dilakukan pada hari Sabtu, 15hb Ramadhan 1365H. 

Serangan ini akan diketuai oleh kiyai-kiyai yang disebutkan tadi dan masing-masing akan membawa pasukannya untuk sama-sama memusnahkan masyarakat Cina di Parit Jawa. Panglima Kiyai Salleh pun akan membantu dalam serangan penting ini.

Sungguhpun demikian Kiyai Mashhudi berkeras dan tidak sanggup menunggu hingga hari Sabtu. Tambahan pula mengikut perkiraannya hari Rabu merupakan langkah paling baik untuk memastikan kejayaan. 

Tetapi oleh sebab majoriti memikirkan hari Sabtu paling sesuai maka keputusan itu terus dijadikan ketetapan hari menyerang. Dengan itu Kiyai Mashhudi merasa tidak puashati dan mula menunjukkan sikap angkuh. Lantas ia memikirkan pasukannya sendiri pun sudah cukup untuk menumpaskan bandar Parit Jawa. 

Oleh sebab itu ia dengan sendirinya telah mengumpulkan orang-orangnya di surau di Parit Gantong (kira-kira 1/4 batu dari Parit jawa) pada hari Selasa 11 hb Ramadhan 1365 H bagi bersedia menyerang Parit Jawa esok harinya. Semalaman itu semua tentera pimpinan Kiyai Mashhudi membaca takbir untuk persiapan serangan.

Sementara tentera-tentera itu khyusuk bertakbir sepanjang malam, orang-orang Cina di Parit Jawa mendapat tahu yang mereka akan diserang. Oleh itu merekapun dengan cepat memindahkan semua familinya ke Bandar Maharani dan lainnya membuat persiapan untuk mempertahankan diri dan keutuhan kuasa mereka di bandar ini. 

Tentera-tentera Cina dengan mesin-gun dan alat senjata lain menggunakan tingkat atas bangunan sebagai kubu mereka. Dengan itu apabila Kiyai Mashhudi memerintahkan tenteranya yang seramai 200 orang menyerang Parit Jawa pada jam 9.00 pagi, telah mendapat tentangan paling sengit (dan belum pernah tentera ini menyerang beribu-ribu tentera Bintang Tiga yang cukup dengan senjata api moden). 

Sungguhpun demikian ketabahan, keberanian dan hikmat tentera Selempang Merah ini telah dapat juga mereka sekurang-kurang nya menggugat morale orang-orang Cina. Apa lagi bila didapati yang tentera-tentera selempang Merah yang terdiri daripada orang-orang Melayu itu tidak menghiraukan tembakan senapang atau mesin-gun kerana masing-masing seolah-olah tidak ditembusi oleh peluru. Sebaliknya mereka terus menyerang bandar itu dari setiap penjuru dengan hanya menggunakan parang panjang, keris dan pedang.

Kendatipun demikian, tentera yang hanya 200 orang itu tidak dapat memusnah kan semua tentera Cina. Mereka mula merasa hampa apabila tidak ada sebarang bantuan tentera didapati dari Kiyai Ijam, Kiyai Maskam, Kiyai Wak Joyo. Malah Panglima Kiyai Salleh sendiripun yang pada mulanya mahu menolong tidak juga kelihatan. 

Perkara ini telah menjadikan pasukan kiyai Mashhudi terlalu letih dan terus mengambil keputusan untuk mengundurkan diri. Oleh tu serangan di Parit Jawa ini merupakan satu gerakan yang dianggap tidak sempurna dan mencerminkan kegagalan. 

Kegagalan ini pada pokoknya disebabkan oleh keangkuhan Kiyai Mashhudi, sehingga panglima dan pemimpin lain tidak tahu dan oleh itu tidak bersedia memberikan bantuan. Dalam perjuangan ini dua orang tentera Selempang Merah telah cedera parah dan akhirnya mati di Surau Parit Nipah.

Apabila pasukan Kiyai Mashhudi tidak berjaya memusnahkan semua tentera Cina di Parit Jawa dan terus meninggalkan bandar ini, maka orang-orang Cina beranggapan telah beroleh kemenangan. 

Dengan itu mereka semakin menunjukkan keganasan dan kebengisannya dengan keluar secara beramai-rama dan membunuh semua orang-orang Melayu yang dijumpainya. Dalam beberapa hari selepas trajedi di Parit jawa itu tidak kurang dari 10 orang Melayu telah dibunuh dan mereka itu terdiri daripada orang-orang perempuan, kanak-kanak dan pesakit-pesakit. 

Perkara ini telah semakin memarahkan orang-orang Melayu dan akibatnya serangan dari Tentera Selempang Merah menjadi besar dan merebak luas, bukan sahaja di Muar tapi juga kesemua kampung hingga ke Batu Pahat. Orang-orang Melayu telah bukan sahaja membunuh semua orang-orang Cina yang dijumpai, malah membakar dan memusnahkan tempat tinggal mereka. 

Keganasan ini telah menggerunkan orang-orang Cina, mereka yang masih hidup telah lari ke Bandar Maharani.

Tentera Selempang Merah pun berura-ura untuk sekali lagi menyerang Parit Jawa; tetapi sebelum ini dilakukan mereka mahu menghabiskan dahulu semua orang Cina di kampung kecil sepanjang antara Muar dan Batu Pahat. 

Malah mereka merancang untuk terus ke Bandar Penggaram sebelum balik ke Parit Jawa dan Bandar Maharani. Dalam gerakan ini Panglima Kiyai Salleh sendiri mengepalai serangan dan telah memusnahkan semua orang Cina di Semerah dan kawasan sekitarnya. 

Tetapi sebaik sahaja pasukan ini sampai di Peserai, mereka telah di tahan oleh Dato’ Onn Jaafar yang cuba mencari jalan agar gerakan membunuh orang-orang Cina itu tidak diteruskan. 

Dato’ Onn meyakinkan Tentera Selempang Merah bahawa gerakan mereka sudah cukup memberikan pengajaran yang mendalam dikalangan orang-orang Cina dan memastikan yang orang-orang Cina tidak akan melakukan kekejaman lagi terhadap orang-orang Melayu. 

Sebenarnya Dato’ Onn sendiri telah beberapa kali “disembah” oleh pemimpin-pemimpin Cina supaya menggunakan jasa baiknya memberhentikan serang-balas orang-orang Melayu yang semakin besar dan menakutkan itu. 

Orang Cina mula sedar sekiranya gerakan Panglima Salleh dan pasukannya itu tidak dihentikan, besar kemungkinannya semua orang Cina di Negeri Johor akan musnah dan binasa.

Usaha Onn Jaafar ini akhirnya berjaya memberhentikan gerakan tentera Selempang Merah. Persetiaan untuk berbaik sangka dan tidak melakukan serang-menyerang diantara Cina dengan Melayu telah dibuat. 

Dengan itu Panglima Salleh terus ke Semerah dan Parit Jawa untuk mengumumkan perisytiharan berdamai perselisihan Melayu-Cina. Tetapi perisytiharan ini diterima oleh orang- orang Melayu dengan rasa dingin kerana perasaan benci pada keganasan orang-orang Cina masih lagi meluap. 

Oleh itu beberapa insiden terus juga berlaku di beberapa kawasan dan suasan aman yang sebenarnya masih tidak wujud lagi.

Kebangkitan dan gerakan Tentera selempang Merah yang berasaskan pada usaha untuk menjaga maruah bangsa dan agama itu telah memberikan beberapa kesan dikalangan masyarakat di kawasan ini, Antaranya ialah baik Cina mahu pun Melayu mereka tidak berani lagi untuk tinggal memencilkan diri dikampung- kampung. 

Perpaduan komuniti mereka semakin kukuh dan memperlihatkan espirit de corp yang benar-benar bermakna. Kedua-dua komuniti memperluaskan lagi pelajaran seni mempertahankan diri seperti silat dikalangan orang-orang Melayu dan bermain tembong dikalangan orang-orang Cina. 

Kedua-dua komuniti merasa takut dan bimbang apabila berlaku sebarang krisis diantara mereka. Perasaan takut ini lebih dominan dikalangan orang-orang Cina, terutamanya mereka yang melihat dan mergalami trajedi konflik perkauman yang melibatkan ramai diantara mereka menjadi gila, cacat, tempang dan sebagainya. 

Orang- orang Cina di daerah ini juga menjadi terlalu sensitif apabila mendengar orang-orang Melayu bertakbir kerana dengan suara itu mereka gerun dan teringat semula akan peristiwa lama yang amat mengharukan dan hampir-hampir memusnahkan keturunan mereka di daerah ini.

NAMA PENUH : Mohd Salleh Bin Abdul Karim

GELARAN : Kiyai Salleh Abdul Karim, Panglima Salleh, Kiyai Salleh, Cikgu Salleh, Penghulu Salleh, Salleh Hitam, Salleh Keling.

TAHUN LAHIR : 1916

TEMPAT LAHIR : Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor.

TARIKH MENINGGAL : 21 April 1959

SUMBANGAN : Tokoh pejuang menentang komunis di Batu Pahat dan Muar, Johor.

Jasa Kiyai Salleh dalam usaha menghapuskan komunis menyebabkan Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim memberi gelaran ‘Panglima’ kepadanya pada 26 Disember 1945 malah beliau turut dilantik sebagai Penghulu Mukim Empat, Batu Pahat.

Selepas menabur begitu banyak jasa terhadap agama, bangsa dan tanah air, Panglima Salleh akhirnya meninggal dunia di Hospital Besar Johor Bahru pada 21 April 1959 iaitu selepas hampir dua tahun negara beroleh kemerdekaan.

Tokoh pahlawan itu meninggal dunia akibat penyakit bengkak paru-paru sekali gus meninggalkan nama dan keperwiraannya sebagai sebuah kisah pejuang ulung yang meniti daripada bibir ke bibir.

AL FATIHAH..

Wallahuawalam

Sumber - Che'gu Rosman

COMMENTS

BLOGGER: 1
  1. CGU ROSMAN GURU SILAT SYA......0142579296 AL FAKIR AZROL

    ReplyDelete

Name

Al Quran,26,Doa,26,Dulu-dulu,24,Ilmu,80,Jampi,8,Koleksi,87,Pendinding,20,Persilatan,30,Perubatan,6,Petua,10,Pusaka,25,Rezeki,2,Zikir,9,
ltr
item
Koleksi Ilmu Dulu-Dulu: Selempang Merah Parang Terbang Kiyai Salleh
Selempang Merah Parang Terbang Kiyai Salleh
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi6D0f4HN0xXxWP_OMyXQEco7JcoMB0RP7IJ19knmVP-Y6qAQxBAe7MfOdKZujN1rrHyikhYgjwj3QJB-nzVlt0eJA0hH9vPUCczivEbG-DPfD7JQwY7PMZv0Bmexn8ZhZeDGBZMX8g4n8/s1600/1576394342099475-0.png
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi6D0f4HN0xXxWP_OMyXQEco7JcoMB0RP7IJ19knmVP-Y6qAQxBAe7MfOdKZujN1rrHyikhYgjwj3QJB-nzVlt0eJA0hH9vPUCczivEbG-DPfD7JQwY7PMZv0Bmexn8ZhZeDGBZMX8g4n8/s72-c/1576394342099475-0.png
Koleksi Ilmu Dulu-Dulu
https://koleksiilmudulu2.blogspot.com/2019/12/selempang-merah-parang-terbang-kiyai.html
https://koleksiilmudulu2.blogspot.com/
https://koleksiilmudulu2.blogspot.com/
https://koleksiilmudulu2.blogspot.com/2019/12/selempang-merah-parang-terbang-kiyai.html
true
7831585522844739872
UTF-8
Loaded All Posts Not found any posts VIEW ALL Readmore Reply Cancel reply Delete By Home PAGES POSTS View All RECOMMENDED FOR YOU LABEL ARCHIVE SEARCH ALL POSTS Not found any post match with your request Back Home Sunday Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat January February March April May June July August September October November December Jan Feb Mar Apr May Jun Jul Aug Sep Oct Nov Dec just now 1 minute ago $$1$$ minutes ago 1 hour ago $$1$$ hours ago Yesterday $$1$$ days ago $$1$$ weeks ago more than 5 weeks ago Followers Follow THIS PREMIUM CONTENT IS LOCKED STEP 1: Share to a social network STEP 2: Click the link on your social network Copy All Code Select All Code All codes were copied to your clipboard Can not copy the codes / texts, please press [CTRL]+[C] (or CMD+C with Mac) to copy Table of Content